Khabar Duka, Pelawak Veteran Hamid Gurkha Meninggal Dunia, Al Fatihah

Khabar Duka, Pelawak Veteran Hamid Gurkha Meninggal Dunia, Al Fatihah 

Post By Admin 

KLANG: Pelawak veteran Abdul Hamid Ab Rahman atau lebih dikenali Hamid Gurkha menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, pada 2.19 petang tadi.

Berita pemergian Abdul Hamid, 89, itu disahkan anak Allahyarham, NorAzian, 53, ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Sri Andalas, di sini, hari ini.

“Kesihatan ayah merosot sejak Aidilfitri lepas. Ia bertambah teruk pada Khamis (9 Jun) apabila ayah terpaksa ditahan di HTAR susulan doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.


Turut hadir menziarah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

NorAzian berkata Allahyarham sempat berpesan kepada anak-anak agar jangan putus hubungan dan terus kukuhkan ikatan adik-beradik walaupun dirinya sudah tiada.

Allahyarham meninggalkan isteri Timah Hamid, 80, serta enam anak, 32 cucu dan 17 cicit.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan disolatkan di Masjid Kota Raja, Taman Sungai Jati Permai serta dikebumikan di tanah perkuburan masjid tersebut selepas solat isyak malam ini. - BERNAMA